DATUK Tee Siew Kiong (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik tanda pembukaan rasmi Impiana Hotel Senai, Johor Bahru . FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENGURUSAN hotel dan pemain industri pelancongan disarankan menghantar kakitangan mereka untuk menjalani latihan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pihaknya sedia menawarkan kursus berdasarkan keperluan industri sama ada dalam bentuk latihan jangka pendek dan separuh masa.

"Dengan melihat senario perkembangan sektor pelancongan yang pesat di Johor pada masa kini, semakin banyak premis penginapan seperti hotel dan produk pelancongan yang bertaraf antarabangsa beroperasi.

"Sektor pelancongan sebagai bidang perkhidmatan yang penting perlu sentiasa memastikan tahap mutu perkhidmatan yang tinggi.

"Penggiat industri terutamanya golongan barisan hadapan perlu menonjolkan sifat mesra pelancong dan tahap perkhidmatan berkualiti kepada pelancong," katanya selepas merasmikan pembukaan Impiana Hotel Senai di Senai, Johor, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat memandang berat terhadap latihan dan kursus tenaga kerja dalam industri pelancongan, malah beliau sendiri menetapkan pemupukan modal insan sektor pelancongan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) setiap tahun.

"Sejak 2014 hingga Jun lalu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan (Tourism) Johor dan kementerian menganjurkan pelbagai kursus dan latihan serta telah memanfaatkan seramai 7,151 orang pengusaha industri.

"Kursus dalam bidang ini yang ditawarkan adalah pengurusan hotel, pengurusan taman tema, pemandu pelancong serta kulinari dan bakeri. Setakat pembukaan hingga kini, Johor Skill Hub ini berjaya memanfaatkan seramai 660 orang termasuk 144 orang dalam bidang pelancongan.

"Latihan sebegini dapat membantu menampung permintaan industri yang tinggi. Beberapa cara seperti kursus selepas bekerja, bekerja selepas kursus atau sambil kerja dalam latihan," katanya.

Sementara itu, Impiana Hotel Senai adalah hotel kelas perniagaan pertama di Senai menawarkan 172 bilik termasuk enam bilik eksklusif yang dilengkapi ruang kerja, akses Internet berkelajuan tinggi dan kemudahan moden seperti televisyen satelit.

Hotel bertaraf empat bintang itu turut dilengkapi tiga restoran, kolam renang infiniti, gimnasium, rawatan refleksologi serta kemudahan majlis atau mesyuarat yang boleh menampung hingga 400 orang.

Kedudukan strategik hotel berkenaan hanya mengambil masa kurang 10 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dan pastinya menjadi tumpuan pelancong yang ingin bercuti ke pusat bandar Johor Bahru dan pusat pentadbiran Kota Iskandar serta lokasi sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:20 PM