SEMBILAN peket dadah ditemui di dalam bungkusan keropok
SEMBILAN peket dadah ditemui di dalam bungkusan keropok
HM Digital

Petaling Jaya: Sorok dadah dalam bungkusan keropok makanan ringan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Itu taktik digunakan seorang lelaki dipercayai tokan dadah yang disyaki aktif membekalkan heroin kepada penagih sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dibongkar susulan penahanan suspek oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Dalam serbuan awal pagi itu, pihak polis menahan lelaki berusia 50-an dan merampas satu bungkusan keropok yang mengandungi sembilan peket dadah disyaki heroin.

Sumber polis berkata, suspek ditahan hasil maklumat dan risikan dilakukan oleh JSJN IPD Petaling Jaya berhubung kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.

“Suspek ditahan ketika dalam perjalanan menghantar bekalan dadah itu kepada pelanggan.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui satu bungkusan keropok dan didalamnya terdapat sembilan peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah heroin,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:48 AM