Kathryn menunjukkan iklan Promosi Rentas Sempadan Kementerian Pelancongan Indonesia kepada Rizki (tengah) dan Haris. FOTO Rudy Fazrunisyam Samarudin
Kathryn menunjukkan iklan Promosi Rentas Sempadan Kementerian Pelancongan Indonesia kepada Rizki (tengah) dan Haris. FOTO Rudy Fazrunisyam Samarudin
Rudy Fazrunisyam Samarudin


SEBAGAI usaha menjadikan Batam dan Bintan destinasi percutian pilihan, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia menawarkan 100,000 tiket pakej pelancong pergi-balik ke kepulauan itu kepada rakyat Malaysia terutama dari Johor.

Melalui Program Promosi Rentas Sempadan itu, harga tiket feri ditawarkan serendah RM105 termasuk yuran terminal bagi pelayaran dua hala dari jeti Stulang Laut ke Batam.

Pengarah Promosi dan Pemasaran Asia Tenggara Kementerian Pelancongan Indonesia, Rizki Handayani berkata, harga yang ditawarkan menarik berbanding biasa iaitu RM162 ke jeti Batam Center.

Katanya, sehingga kini lebih 10,000 tiket berjaya dijual tetapi sebahagian besarnya membabitkan pelancong Singapura.

“Promosi kali pertama dilakukan dengan memperkenalkan pakej pelancongan seperti ini sudah bermula sejak Ogos lalu.

"Kami menjalinkan kerjasama dengan pengusaha perkhidmatan feri dan agensi pelancongan di Kepulauan Batam dan Bintan.

“Harga tiket dua hala ini pulang-balik ini bergantung kepada jenis aktiviti dan pakej pelancongan yang dibeli oleh pelancong dan ia untuk warga Malaysia khususnya di Johor," katanya tiket boleh dibeli pada Isnin hingga Khamis.

Rizki berkata demikian dalam sidang media hari ini di Berjaya Waterfront Johor Bahru.

Hadir sama, Konsulat Jeneral Indonesia di Johor Bahru, Haris Nugroho serta Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor, Kathryn Lee.

Rizki berkata, harga istimewa boleh dinikmati rakyat negara ini dengan hanya perlu memilih salah satu daripada 250 pakej pelancongan yang disediakan oleh 60 agensi pelancongan berkaitan pakej seperti hotel penginapan, spa, golf dan banyak lagi.

Menurutnya, pakej pelancongan itu dapat memberikan manfaat kepada industri pelancongan Indonesia dalam menawarkan perkhidmatan pelancongan yang terbaik pada harga yang berpatutan.

Batam dan Bintan adalah destinasi pelancongan kedua tertinggi di Indonesia selepas Bali.

Ia mempunyai 11 padang golf, lebih 200 restoran yang mengkhususkan makanan laut dan terkenal dengan perkhidmatan spa, selain pusat beli-belah dan pantai yang cantik.

“Kami yakin pakej pelancongan ini menjadi pelengkap kepada pelancongan yang sedia ada terdapat di Johor,” katanya.

Katanya, pakej berkenaan turut memberikan manfaat kepada pengusaha feri dalam menambah kapasiti penumpang dan pelayaran yang dilakukan.

“œPromosi istimewa ini berjalan sehingga hujung tahun ini dan kami akan melanjutkan ia hingga tahun depan jika mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Kami juga mengadakan promosi pakej pelancongan ini di Aeon Mall Kulai pada 12 hingga 15 Oktober ini, di Aeon Mall Kulai dan City Square Johor Bahru pada 9 hingga 12 November depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 2:17 PM
Digital NSTP Subscribe