Keadaan mangsa yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di Kilometer 19.5 berhampiran susur keluar Lukut, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas kenderaan ditunggangnya terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 19.5, Lebuhraya Seremban €“Port Dickson (SPDH), berhampiran susur keluar Lukut, hari ini.

Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 8 pagi, menyebabkan mangsa, Mohd Faiz Ismail, 35, parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Seremban ke bandar ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan pembahagi jalan dan terbabas.

"Mangsa kemudian tercampak dan cedera di leher sebelum disahkan meninggal di tempat kejadian. Polis masih menjalankan siasatan mengenai punca kemalangan.

"Polis meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan dengan menghubung Ibu Pejabat Polis Port Dickson (IPD) Port Dickson di talian, 06-6472222," katanya.

Zainudin berkata, mangsa berasal dari Batu 6, Jalan Kapar, Selangor dan mayatnya dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:16 PM