Wan Ji ditahan oleh anggota polis di luar Masjid Sembilang, Seberang Jaya.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


PEGAWAI Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin ditahan sepasukan polis dari Bukit Aman dipercayai berkaitan kes menghina Sultan.

Wan Ji yang juga penceramah dan aktivis Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan 2.40 petang di luar pekarangan Masjid Sembilang, Seberang Jaya selepas solat Jumaat.

Penahanan itu disahkan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye.

Chuah berkata, Wan Ji dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Surau Mohd Al-Fateh di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam membuat laporan polis terhadap Wan Ji yang didakwa menghina institusi diraja dan kesultanan negara menerusi ceramahnya.

Selepas itu, satu lagi laporan polis terhadapnya dibuat di Kuala Lumpur sebelum tindakan diambil hari ini.

Wan Ji pernah didakwa di mahkamah pada 2014 atas tuduhan menerbitkan kenyataan berbaur hasutan bagi menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui Facebook (FB).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:56 PM