Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my

 

Lebih 30 buah rumah di Jalan Melor, Sungai Kantan, Kajang retak dan berlubang akibat kerja pembetungan untuk projek perumahan sekitar kawasan terbabit sejak Ogos tahun lalu.

Pesara, Mohd Fauzi Ramli, 56, berkata, bumbung siling rumahnya hampir runtuh selain jubin garaj di hadapan rumah retak.

"Ketika projek berkenaan dijalankan, saya yang berada di dalam rumah terasa gegaran sebelum keluar meminta pekerja kontraktor projek berkenaan memberhentikan kerja.

"Berkali-kali saya membuat aduan di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi mengatasi masalah ini namun sehingga kini masalah sama masih berlaku," katanya.

Menurutnya, kesan projek pembetungan itu, sudah lima kali paip bekalan air di kawasan berkenaan pecah akibat gegaran yang berlaku.

"Kami sudah membuat aduan lima kali kepada SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor) kerana paip air pecah dan kami terputus bekalan air.

"Projek itu dilakukan untuk perumahan di Taman Jenaris dan kami di sini jadi mangsa," katanya.

Pesara, Abdul Munir Rahimudin, 54, berkata, bilik dan kawasan dapurnya hampir runtuh akibat projek berkenaan.

"Kawasan ini bekas tanah lombong jadi mereka perlu lakukan ujian tanah sebelum menjalankan sebarang projek namun tiada sebarang ujian dijalankan.

"Akibat projek ini, rumah saya hampir runtuh. Bukan pampasan yang kami mahukan. Rumah kami memang boleh dibaiki tetapi projek ini harus dihentikan serta merta," katanya.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Dazma Shah Daud, berkata, tanah di kawasan itu menjadi mendap menyebabkan banyak kerosakan yang berlaku pada rumah di kawasan berkenaan.

"Kami mohon MPKj buat sesuatu kerana projek berkenaan memberi kesan buruk kepada penduduk," katanya.

Menurutnya, longkang di kawasan berkenaan juga tersumbat akibat projek berkenaan.

Sementara itu, Ahli Majlis MPKj Lee Learn Eng berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama kontraktor bagi mencari penyelesaian masalah berkenaan dalam masa terdekat.

"Kami akan mencadangkan kepada kontraktor berkenaan untuk menggunakan laluan lain bagi projek pembetungan itu.

"Selain itu, kita akan minta MPKj maklumkan kepada kontraktor projek berkenaan supaya menanggung segala kos pembaikan rumah yang rosak akibat projek yang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:42 PM
PENDUDUK menunjukkan kesan retak yang berlaku akibat projek pembetung yang di jalankan di Jalan Melor, Sungai Kantan. FOTO Khairus Ramli