pelarian Rohingya yang baru tiba di kem mengambil bantuan makanan selepas selesai proses pendaftaran di Kem Kutupolong di Ukhiya.
Mohd Anwar Patho Rohman


Cox’s Bazar: Kadar populasi kem pelarian Rohingya di Kutupalong di sini, dijangka meningkat secara drastik selepas lebih 70,000 kelahiran bayi dijangkakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ia susulan lebih 70,000 pelarian yang melarikan diri daripada operasi tentera Myanmar menghalau etnik beragama Islam itu dari wilayah Rakhine sejak Ogos lalu adalah wanita hamil.

Gelombang kelahiran bayi ini mencetuskan kebimbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kerana ia dilihat bakal meningkatkan isu penyakit baharu di kem pelarian yang menempatkan lebih 500,000 etnik Rohingya.

Bendahari Kehormat Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dr Ahmad Yusuf Yahaya, berkata NGO perubatan yang berkampung di kem berkenaan menganggarkan penyakit bawaan dan kekurangan zat akan bertambah di situ.

“Apa yang membimbangkan kami ialah kebanjiran bayi baharu di kem pelarian dalam beberapa minggu akan datang akan meningkatkan isu kesihatan seperti kurang zat dan penyakit akut kepada bayi serta ibu.

“Memang ada pusat perubatan disediakan kerajaan Bangladesh di sini untuk merawat mereka, tetapi ia tidak mampu menampung kapasiti yang ramai,” katanya kepada media Malaysia di Kem Ghundum, terletak kira-kira satu kilometer dari kem Kutupalong.

Media dari Malaysia berada di Cox Bazar bagi membuat liputan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke kem pelarian di Kutu Palong, hari ini.

Dr Ahmad yang juga pensyarah kolej swasta, berada di kem berkenaan bersama NGO dari Lubnan selama sebulan sebagai penyelaras klinik sementara yang menawarkan rawatan kesihatan dan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:23 AM