Mohd Husni Mohd Noor


BEKAS Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas didapati bersalah kerana memandu di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya pada 7 Oktober 2016.

Majistret Muhammad Zaki Abd Kudos membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan daripada pendakwaan dan pembelaan.

Muhammad Zaki juga menetapkan penjara empat bulan jika tertuduh gagal membayar denda. Bagaimanapun, Yusoff membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yusoff selaku orang kena saman (OKS) didakwa memandu di lorong kecemasan menggunakan kenderaan bernombor BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya, pada jam 6.27 malam, 7 Oktober 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 119 (1) (c) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119 (2), Akta Pengangkutan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela tertuduh Datuk Baljit Singh dalam rayuannya meminta mahkamah memberi hukuman setimpal kepada anak guamnya kerana ia bukan kes mengikut Kanun Keseksaan, sebaliknya Akta Pengangkutan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata, pihak pendakwaan mahu OKS menerima hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada orang lain.

Menurutnya, pihak pendakwaan juga mahu satu mesej jelas diberikan kepada OKS dan agensi penguatkuasaan lain bahawa mereka perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Sebelum ini, Yusoff didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada 18 Julai lalu selepas mengaku salah kerana memandu di lorong kecemasan sebelum menukar pengakuan kepada tidak bersalah pada 25 Julai lalu apabila didakwa semula.

Kes itu menimbulkan kontroversi apabila Yusoff tidak hadir ketika didakwa sebelum ini dan diwakili pegawai khasnya sebelum mengaku bersalah terhadap tuduhan sama.

Bagaimanapun, pada 21 Julai lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ab Karim Ab Rahman mengarahkan Yusoff didakwa semula dalam satu permohonan semakan semula kes berkenaan.

Berita berkaitan

5 Oktober, tarikh keputusan

Bekas Timbalan KP JPJ didakwa semula [METROTV]

TKP JPJ pun kena saman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 11:10 AM
Yusoff tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendengar keputusan kes memandu di lorong kecemasan di Putrajaya pada 7 Oktober 2016. FOTO Mohd Fadli Hamzah