MUSTAFAR (tiga kiri) memeriksa passport palsu yang ditemui di pangsapuri suspek. FOTO Amir Irsyad Omar
Rudy Syareme Sheriffudin


KELICIKAN lelaki warga Bangladesh menjadikan pangsapuri sebagai lokasi membuat pasport palsu akhirnya terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Jelutong, malam tadi.

Dalam operasi 9.30 malam itu sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang menyerbu pangsapuri itu hasil pemantauan dan intipan sejak enam bulan lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam operasi itu pihaknya terlebih dahulu melakukan intipan di pangsapuri berkenaan sejak 4 petang.

Beliau berkata, dalam serbuan itu lelaki Bangladesh dipercayai ejen berusia 38 tahun yang menyewa pangsapuri berkenaan telah pulang ke rumah sebelum diberkas pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang.

Katanya, ketika diperiksa, lima lelaki Bangladesh berusia 25 hingga 35 tahun ada bersamanya dan ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

"Turut ditahan wanita Indonesia berusia 27 tahun bersama dua kanak-kanak berusia tiga dan lapan tahun yang dipercayai isteri dan anak kepada ejen berkenaan.

"Hasil pemeriksaan pihaknya menemui 94 pasport Bangladesh pelbagai nama bersama wang tunai kira-kira RM15,000 dan dia dipercayai sudah lama menjalankan aktiviti haram itu ," katanya ketika sidang media, malam tadi.

Mustafar berkata, pihaknya mengesyaki suspek telah menjadikan rumahnya sebagai lokasi aktiviti itu namun tempoh masa sebenar ia beroperasi masih lagi disiasat termasuk aktiviti mereka sama ada ia didalangi sindiket tertentu.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menyiasat latar belakang suspek yang telah berada di Malaysia sejak 20 tahun yang lalu.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 12(1) F Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport orang lain tanpa kebenaran dan kesemua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Mustafar berkata, pihaknya akan terus melakukan intipan dan pemantauan selain mempergiatkan operasi dari masa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 3:46 AM