AZMAN (kiri) melihat barangan kes yang akan dilupuskan pihaknya di Stor KPDNKK Selangor, Shah Alam.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Katrij pencetak tiruan berjenama terkenal, pakaian dan produk makanan antara barangan rampasan berjumlah RM2.5 juta dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor.

Barangan termasuk minyak pelincir dan cakera video digital (DVD) itu diperoleh hasil rampasan membabitkan 43 kes sepanjang 2012 hingga tahun ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri Azman Adam berkata, semua barangan yang disita di seluruh Selangor itu dilupuskan selepas pihaknya mendapat perintah mahkamah.

“Selain tiruan atau ciplak, ia antaranya membabitkan kesalahan menggunakan perihal dagangan palsu, logo halal tidak sah, selain mengikut Akta Jualan Langsung iaitu tanda harga, jualan murah dan pelabelan.

“Kesalahan itu dilakukan oleh lebih 50 syarikat dan arahan untuk melupuskan barangan rampasan dikeluarkan oleh mahkamah,” katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan itu di sini, semalam.

Menurut beliau, kesalahan itu merangkumi semua akta sedia ada yang ditetapkan kecuali Akta Timbang dan Sukat 1972.

Kata Azman, pihaknya menghargai kerjasama pemilik hak dagang atau hak cipta dan orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada operasi rampasan seumpama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 5:58 AM