SUPERINTENDAN Wan Kamarul Azran Wan Yusuf (kanan) menunjukkan komponen kereta yang dirampas di sebuah bengkel haram di Bukit Sentosa. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Lima lelaki dipercayai menganggotai Geng Sentosa yang aktif menjalankan kegiatan curi dan melerai kenderaan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur, ditumpaskan polis.

Kesemua lelaki berkenaan ditahan di beberapa lokasi berasingan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muallim, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, penangkapan suspek berumur 20-an sehingga 30-an itu berjaya menyelesaikan beberapa kes curi dan melerai kenderaan di daerah ini serta di Cheras, Kuala Lumpur.

"Pada 21 September lalu, kereta Proton Wira dan Honda City dilaporkan dicuri oleh dua suspek dan siasatan selama dua minggu berjaya menahan dua lelaki iaitu di Bukit Sentosa dan Sungai Buluh, Selangor.

"Polis kemudian menahan seorang pembeli kereta curi di restoran dekat Bukit Sentosa serta pemilik bengkel yang dipercayai menjalankan kerja meleraikan kenderaan di bengkel haram di lokasi sama," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, seorang lagi suspek ditahan di Kuala Kubu Baharu, Selangor, dan hasil siasatan berjaya menahan dua suspek yang mencuri kereta Honda City, yang juga mempunyai rekod jenayah samun di hotel bajet dan premis kecantikan.

Katanya, hasil serbuan di bengkel haram pula menemui beberapa komponen kenderaan iaitu pintu, rim tayar, dan pelbagai aksesori kereta serta satu enjin kereta Proton Wira yang berkaitan dengan kes curi kereta di Cheras.

Beliau berkata, kesemua suspek adalah warga tempatan, mempunyai rekod kes dadah dan curi motosikal sebelum ini serta dipercayai aktif di kawasan negeri Selangor.

Katanya, suspek menjual kenderaan kepada pembeli dengan harga RM500 dan pembeli membayar upah meleraikan kereta curi kira-kira RM300 kepada pemilik bengkel haram itu.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di IPD Cheras untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 4:38 PM