UNIT Kereta Peronda (MPV) Elit Polis Diraja Malaysia terlibat dalam kemalangan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat susur masuk tol Alor Pongsu, Bagan Serai dipercayai mengejar kenderaan suspek. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


KOPERAL Polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Elit cedera selepas kenderaan dinaikinya bersama dua rakan setugas dihimpit kereta Proton Wira sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat susur masuk tol Alor Pongsu, Bagan Serai, awal pagi, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.20 pagi itu, anggota dari Unit MPV Elit Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dipercayai bersama-sama beberapa kenderaan polis sedang mengejar kereta terbabit yang dinaiki suspek dari arah Pulau Pinang.

Anggota yang cedera, Koperal Nelson Mateo Anak Kasin, 34, yang berada di bahagian penumpang hadapan patah bahu kiri, manakala pemandu kenderaan itu, Koperal Mohd Haizrul Mohamed Lazin, 36, cedera di dagu dan seorang lagi anggota yang duduk di bahagian belakang tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, selepas menghimpit kenderaan polis sehingga mengakibatkan kemalangan, suspek dipercayai memandu keretanya sebelum terbabas ke dalam parit ketika melalui selekoh di Jalan Selama.

"Suspek berusia 27 tahun itu kemudiannya melarikan diri ke dalam ladang sawit sebelum berjaya diberkas walaupun berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis.

"Pemeriksaan kemudiannya menemui satu paket plastik berwarna merah dan perak mengandungi 10 pil disyaki Eramin 5, dua plastik kecil masing-masing disyaki mengandungi dadah jenis syabu dan ketamin, yang disorokkan di bahagian belakang seluar dalamnya," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 5:03 PM