Hamzah Osman

MASYARAKAT Langkawi mahu tindakan tegas diambil terhadap lelaki dari sebuah kumpulan persilatan di Pulau Dayang Bunting, Langkawi yang mengaku sebagai ‘tok guru’ kerana mencabar tokoh agama di pulau peranginan berkenaan.

Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad berkata, beliau mengetahui perkara itu selepas menonton rakaman video berdurasi kira-kira enam minit yang dimuat naik ke laman sosial Facebook dan turut tular dalam aplikasi Whatsapp.

"Saya pun terkejut apabila pertama kali menontonnya (video) dalam Facebook, apatah lagi perkara itu dilaporkan berlaku di sebuah kampung di Pulau Dayang Bunting yang termasuk dalam kepulauan Langkawi.

"Justeru, saya bersetuju dengan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) apabila dilaporkan sudah mengarahkan Pejabat Agama Daerah Langkawi (PADL) melakukan siasatan berhubung perkara itu," katanya.

Katanya, tindakan individu terbabit yang memuat naik video sambil mencabar tokoh agama tempatan dilihat sebagai sesuatu yang berada di luar norma sebagai seorang Islam.

"Perkembangan ini eloklah dibendung dan saya setuju sangat supaya PADL melakukan siasatan segera kerana penduduk tempatan sedang menanti tindakan pihak berkuasa terhadap isu ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teluk Bujur Marzuki Yaakob, berkata arahan Pengarah JHEAIK Datuk Abdul Rahman Ismail supaya siasatan segera perlu dibuat terhadap individu terbabit.

"Ya.... kena siasat kerana ia boleh mempengaruhi masyarakat, malah individu terbabit dilihat berani menunjuk muka dan mencabar golongan cerdik agama supaya berdebat dengan mereka menerusi video dimuat naik dalam media sosial,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Jabatan Mufti Negeri Kedah mengarahkan siasatan video tular mengenai ahli kumpulan persilatan tertentu di Langkawi, di sini, yang dikesan tersebar di media sosial sejak minggu lalu.

Pemerhatian Harian Metro terhadap klip video berdurasi enam minit dan 47 saat itu menunjukkan seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai tok guru atau pengasas ajaran itu yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 5:54 PM
Lokasi tempat lelaki yang menggelar dirinya sebagai 'Tok Guru' di Pulau Dayang Bunting, Langkawi. Foto IHSAN PEMBACA