PENGUATKUASA KPDNKK membuat pemeriksaan harga barang sempena Skim Kawalan Harga Deepavali di Pasar Besar Jalan othman.
HM Digital

Petaling Jaya: Rampasan barang ciplak dilaporkan antara yang tertinggi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Petaling Jaya dengan 58 kes bermula Januari hingga kelmarin, membabitkan nilai rampasan hampir RM1 juta.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Petaling Jaya Kamaruddin Md Yassin berkata, 25 daripada 58 kes yang diterima tahun ini diselesaikan dengan bayaran kompaun dikenakan setakat ini ialah RM22,600 manakala 33 kes masih dalam siasatan.

“Dua puluh enam peniaga yang menjual barang tiruan ini dikenakan kompaun serta merta atas kesalahan dilakukan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Selain itu, Akta Hak Cipta 1987 adalah kes kedua yang mencatatkan rampasan tertinggi iaitu RM153,205 dengan tujuh kes dilaporkan di kawasan Petaling Jaya dan dua kes sudah diselesaikan, ada individu didenda RM16,000 atas kesalahan dilakukan,” katanya selepas pemeriksaan Skim Kawalan Harga sempena Deepavali di Pasar Besar Jalan Othman di sini, kelmarin.

Kamaruddin berkata, setakat kelmarin, 6,620 premis di Petaling Jaya diperiksa dan 145 dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta KPDNKK.

Katanya, nilai sitaan yang dirampas RM12.8 juta dan RM56,800 kompaun dikeluarkan, manakala sejumlah RM16,000 denda dikutip.

“Bahagian siasatan sudah melengkapkan 40 kertas siasatan dan lima daripadanya dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, pada pemeriksaan kelmarin, hanya seorang peniaga diberikan notis kerana gagal memaparkan tanda harga merah jambu pada kelapa parut yang dijual serta menggunakan tanda harga yang mengelirukan untuk semua produk yang dijual.

“Peniaga wanita itu diberikan notis dan dia boleh dikenakan kompaun maksimum RM5,000 dan denda RM10,000 atas kesalahan terbabit.

“Setakat ini kami memeriksa 705 premis runcit dan 48 kedai borong sepanjang Skim Kawalan Harga Deepavali yang bermula Jumaat lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:54 AM