BOT yang digunakan untuk seludup keluar 50 tong gas petroleum cecair (LPG). FOTO ihsan PPM
Nasrawati Syarifuddin


TIGA lelaki warga Indonesia ditahan selepas cuba menyeludup keluar 50 tong gas petroleum cecair (LPG) menggunakan tiga bot jongkong di perairan Tanjung Batu, dekat Tawau, semalam.

Pada kejadian 9 pagi itu, juragan warga asing berusia 20 dan 50 tahun itu ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM).

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, mereka ditahan dalam operasi khas hasil kerjasama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berkata, ketika kejadian, bot PPM memintas tiga bot dinaiki tiga lelaki di perairan Tanjung Batu.

"Hasil pemeriksaan terhadap ketika-tiga bot jongkong terbabit, 50 tong gas ditemui dan ia dipercayai cuba diseludup keluar ke Indonesia tanpa permit.

"Pemeriksaan terhadap tiga juragan warga Indonesia terbabit turut mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


BARANGAN rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut. FOTO ihsan PPM

Beliau berkata, ketiga-tiga juragan bersama barangan rampasan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

"Keseluruhan nilai rampasan dalam kes ini termasuk tiga bot jongkong dan enjin dianggarkan bernilai RM103,570.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PPM Tawau akan terus mempergiat usaha pemguatkuasaan dan bekerjasama dengan orang awam untuk memastikan kes penyeludupan barang kawalan dapat dibanteras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 10:34 AM