DUA peserta Malaysia meraih pingat gangsa dalam Pertandingan Kemahiran Dunia iaitu Jia Yi (atas, kanan) dan Mohd Asyraff (bawah, kiri) dalam kategorai masing-masing. FOTO ihsan Kementerian Sumber Manusia
Samadi Ahmad


DUA peserta negara meraih pingat gangsa dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Peserta yang berjaya mengharumkan nama negara adalah Mohd Asyraff Yusni dari Kolej Universiti DRB Hicom yang mengambil bahagian dalam teknologi automotif dan Lai Jia dari Universiti Taylor's dalam bidang masakan.

Kesemua peserta negara berjaya mara ke peringkat akhir dan melepasi modul bidang masing-masing tanpa dikenakan sebarang penalti.

Pasukan negara ini dijangka tiba di tanah air esok dan bakal disambut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Timbalan Menteri merangkap Ketua Kontinjen WSC 2017, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib yang turut berada di Dubai sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan negara sepanjang pertandingan berlangsung.

Pertandingan WSC 2017 yang diadakan 14 Oktober hingga semalam diwakili 21 peserta negara yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016, membabitkan 20 daripada 51 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Penyertaan kali ini adalah ke-13 negara dan pada 2015 di Sao Paulo, Brazil negara berjaya meraih satu pingat gangsa, yang juga pingat pertama negara dalam pertandingan antarabangsa terbabit.

Pada kali ini, negara mensasarkan lima pingat dan sekurang-kurangnya mahu membawa pulang satu pingat emas dan kerajaan turut mengumumkanakan menganugerahkan insentif RM100,000 kepada mana-mana peserta yang berjaya merangkul pingat emas.

Pembabitan kontinjen negara di dalam pertandingan ini bertujuan menengahkan keupayaan tenaga mahir negara di peringkat antarabangsa.

Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berkualiti serta berkemahiran tinggi menjelang 2050.

Di samping itu, pencapaian negara dalam pertandingan ini sangat penting kerana ia dapat menunjukkan kepada dunia Malaysia juga mempunyai kepakaran selain kemudahan pendidikan teknikal serta latihan vokasional bermutu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 11:37 AM