LAI (kanan) menyumbangkan pingat gangsa dalam kategori memasak.
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Dua peserta negara meraih pingat gangsa dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 yang berlangsung di Pusat Pameran Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin.

Peserta yang mengharumkan nama negara itu ialah Mohd Asyraff Yusni dari Kolej Universiti DRB Hicom yang mengambil bahagian dalam teknologi automotif dan Lai Jia dari Universiti Taylor’s dalam bidang masakan.

Pasukan itu dijangka tiba di tanah air hari ini bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dan Timbalannya yang juga Ketua Kontinjen WSC 2017 Datuk Seri Ismail Abd Mutalib.

Kedua-duanya berada di Dubai bagi memberi sokongan kepada pasukan negara sepanjang pertandingan berlangsung.

Pertandingan WSC 2017 yang diadakan antara 14 Oktober hingga kelmarin diwakili 21 peserta negara yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016, membabitkan 20 daripada 51 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Semua peserta negara mara ke peringkat akhir dan melepasi modul bidang masing-masing tanpa dikenakan sebarang penalti.

Penyertaan ini kali ke-13 dan pada 2015 di Sao Paulo, Brazil, Malaysia meraih satu pingat gangsa yang juga pingat pertama negara dalam pertandingan antarabangsa terbabit.

Pembabitan kontinjen negara dalam pertandingan ini bertujuan mengetengahkan keupayaan tenaga mahir negara di peringkat antarabangsa.

Ia juga selaras hasrat kerajaan bagi melahirkan tenaga kerja kompeten, berkualiti serta berkemahiran tinggi menjelang 2050.

Di samping itu, pencapaian negara dalam pertandingan ini sangat penting kerana ia menunjukkan kepada dunia Malaysia mempunyai kepakaran selain kemudahan pendidikan teknikal serta latihan vokasional bermutu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:43 AM