FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


LEBIH dua ribu mangsa kini banjir ditempatkan di sepuluh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Belud dan Tuaran.

Jumlah itu meningkat daripada 1,816 mangsa yang direkodkan pada kira-kira 10 pagi Sabtu.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud, berkata pengiraan pecahan mangsa banjir di kedua-dua daerah itu masih dijalankan.

Katanya, kampung terjejas adalah Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-Sadok, Sembirai, Lingkodon, Linau, Lebak Moyoh, Bobot, Suang Punggur, Menunggui, Song-Song dan Karang Benai.

“Selain itu, turut terjejas ialah Kampung Kota Bungan, Tawakadan, Lentigi, Tanjung Wakap, Lebak Engad, Keranjangan, Rangalau, Tombol, Siasai Tamu, Limatok, Pompod dan Kota Belud," katanya.

Menurutnya, semua mangsa ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 1, Dewan Gopok Taginambur, Dewan Muhibah Tombol dan SMK Taun Gusi 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Taun Gusi dan Dewan SK Pekan Kota Belud.

Mohd Izaimi berkata, di Tuaran mencapai penurunan selepas sebahagian penduduk di PPS Masjid Kampung Bunga, Tenghilan dibenarkan kembali ke rumah masing-masing.

"Mangsa banjir ditempatkan di SMK Sri Nangka membabitkan kampung Kampung Indai, Bunga Tenghilan, Rongolis, Tutu Selupoh, Tinuhan, Dungan, Rugading, Bombong, Gayungan dan Kegayungan.

"Selebihnya, Kampung Tinambak, Laya-laya, Bundung, Kampung Seri Bayu, Tajau, Kampung Sudot, Termenong, Sungai Damit, Marabahai, Labuaya dan Kionsom Lama, Tamparuli," katanya dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 5:36 PM