LOKASI kemalangan maut di Kilometer 45, Jalan Lahad Datu-Tungku.
Ainul Durmahyanty Durming


Lahad Datu: Perjalanan pulang lima sekeluarga selepas membeli kelengkapan dapur bertukar tragedi apabila seorang maut manakala empat parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 45 Jalan Lahad Datu–Tungku, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang, Marisah Melantong, 60, penumpang belakang kereta Perodua Axia meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dialaminya.

Anak mangsa yang juga pemandu Perodua Axia, Nita Avelino, 40, dan dua cucunya iaitu Nurhanizah Lanjaihu, 12, Mohammad Arman Shah Abdullah, 3, serta seorang ahli keluarga mereka Rosli Matin, 23, parah.

Semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa bersama anak, cucu dan seorang ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke Tungku selepas membeli kelengkapan dapur di Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati Perodua Axia dinaiki lima mangsa itu dari Lahad Datu menuju Tungku manakala Proton Preve dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian di jalan berselekoh, Perodua Axia dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta Proton Preve.

“Akibat pertembungan itu, penumpang belakang Perodua Axia meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan tiga lagi penumpang termasuk dua kanak-kanak parah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Hamzah berkata, pemandu kereta Proton Preve berusia 29 tahun hanya cedera ringan.

“Kami masih menjalankan siasatan dan kedua-dua pemandu tidak disyaki mabuk namun sampel darah diambil untuk ujian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 7:10 AM