X
Suspek ditahan polis ketika menyorok di sebuah rumah rakannya di Kampung Kelka
Suspek ditahan polis ketika menyorok di sebuah rumah rakannya di Kampung Kelka
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI yang berjaya melarikan diri dari tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, semalam, ditahan semula sepasukan polis kurang 24 jam di sebuah rumah di Kampung Kelka, Simunjan, tengah hari ini.

Suspek, Zulkipli Morni, 34, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kuching jam 1 tengah hari ketika bersembunyi di rumah rakannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar mengesahkan penahanan itu dan berkata suspek akan dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, polis menerima maklumat awam berhubung kehadiran suspek di rumah berkenaan sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.

"Tahniah kepada pasukan dari BSJ IPD Kuching yang bertungkus lumus mengesan suspek dan berjaya menahannya dalam tempoh kurang 24 jam," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan suspek meloloskan diri dengan membuka garinya sendiri ketika berada di bilik pengawal IPD Kuching kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Suspek yang berpakaian lokap kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Iswara putih yang menantinya di kawasan luar IPD Kuching.

Ketika kejadian, suspek bersama beberapa tahanan lain baru tiba dari Mahkamah Majistret Kuching selepas mendapat perintah reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 3:00 PM