Tiga nelayan warga tempatan dan dua warga Thailand berusia antara 24 hingga 45 tahun ditahan APMM atas kesalahan gagal mengemukakan lesen menangkap ikan Kelas (A) di perairan Kuala Sanglang 4.30 pagi semalam. Foto ihsan APMM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas (C) di perairan pantai Kuala Sanglang, Kangar kerana menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan, malam semalam.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Perlis, Leftenan Komander Maritim Mohd Azlan Osman berkata, lima awak-awak termasuk seorang tekong berusia antara 24 hingga 45 tahun terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua Thailand turut ditahan dalam pemeriksaan 10.12 malam itu.

"Dalam kejadian malam tadi mereka semua ditahan ketika bot peronda APMM melakukan rondaan rutin di perairan terbabit.

"Ketika bot peronda APMM menghampiri, bot terbabit sedang rancak menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak 5 batu nautika dari Pantai Sanglang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azlan, dua awak-awak warga jiran terbabit memiliki dokumen perjalanan yang sah sewaktu ditahan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati ia memiliki lesen menangkap ikan di Zon (C).

"Ketika pemeriksaan, bot terbabit gagal mengemukakan lesen menangkap ikan Zon (A) tetapi dilesenkan untuk menangkap ikan di Zon (C) iaitu 12 batu nautika dari pantai ke atas," katanya.

Menurut Mohd Azlan, bot terbabit dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Perlis untuk pemeriksaan lanjut.

"Kes terbabit disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen," katanya.

Beliau berkata, pihaknya komited mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia Maritim Malaysia dan menggesa orang ramai melaporkan sebarang aktiviti jenayah penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 2:43 PM