Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


PEGUAM Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyerahkan kepada polis untuk menyiasat penulis blog Raja Petra Kamarudin (RPK) yang didakwa memfitnah beliau menerusi artikelnya, baru-baru ini.

Beliau yang dihubungi Harian Metro memaklumkan dua laporan polis sudah dibuat pada Ahad lalu iaitu satu di Kuala Terengganu manakala satu lagi dibuat oleh pejabatnya (Jabatan Peguam Negara) di Putrajaya pada hari sama.

"Masa itu (membaca mengenai artikel Raja Petra) saya berada di Kuala Terengganu. Report (laporan) dibuat di sana tetapi sekarang siasatan sudah diambil alih oleh Bukit Aman.

"Saya serah kepada polis untuk siasat bagi mengelak dari sebarang tohmahan pertindihan kepentingan.

“Saya sebagai pengadu tidak akan terbabit dalam apa-apa arahan kepada pihak polis," katanya menerusi aplikasi WhatsApp di Putrajaya hari ini.

Mohamed Apandi berkata, kertas siasatan juga ada dikendalikan oleh pegawai beliau.

"Saya akan serahkan kepada pegawai lain untuk memberi apa-apa arahan atau pandangan," katanya.

Raja Petra dalam artikel bertajuk ‘Strong Rumours Surrounding the AG: Part 1’ di ruangan The Corridors of Power di blog Malaysia-Today membuat pelbagai tuduhan rasuah terhadap Mohamed Apandi namun disangkal sekeras-kerasnya oleh beliau.

Malah, Raja Petra turut menulis mengenai kononnya satu pertemuan pada 2015 antara hakim kanan dan seorang ahli politik mengenai dakwaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Mohamed Apandi dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:09 PM