Anggota forensik JBPM Perlis memeriksa Perodua Viva yang terbakar ketika dipandu seorang wanita di Lebuhraya Kuala Perlis menghala ke Changlun, Kuala Perlis hari ini. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Anggota forensik JBPM Perlis memeriksa Perodua Viva yang terbakar ketika dipandu seorang wanita di Lebuhraya Kuala Perlis menghala ke Changlun, Kuala Perlis hari ini. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

WANITA, 30-an terselamat apabila sempat keluar dari kereta Perodua Viva dipandunya yang terbakar di Lebuhraya Kuala Perlis menghala ke Changlun, hari ini.

Difahamkan ketika kejadian wanita itu dalam perjalanan ke Arau sebelum terkejut melihat asap keluar dari but keretanya.

Dia memperlahankan kereta sebelum api mula membakar bahagian hadapan kereta dan memberhentikannya di bahu jalan.

Menurutnya yang enggan dikenali, sejurus itu dia menghubungi talian kecemasan untuk bantuan.

"Api marak dengan begitu cepat sehinggakan saya tidak sempat berbuat apa-apa. Hanya mampu menelefon bomba sebelum menunggu mereka tiba untuk memadamkan kebakaran," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.

"Pihak JBPM dari Balai Kuala Perlis tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dan mendapati kereta berkenaan terbakar.

"Api berjaya dikawal pada 10.40 pagi dan kereta berkenaan rosak 70 peratus," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 7:10 PM