TI (lima kanan) bersama Oh (empat kanan), Choong (kanan) dan wakil penduduk Taman Lan Geok Swee dan Taman Sri Rambai, Paya Terubong bimbang dengan projek pembangunan lereng bukit berhampiran kawasan perumahan. FOTO Zuhainy Zulkifli
Zuhainy Zulkiffli


SATU lagi projek pembangunan lereng bukit dikhuatiri mengundang bencana kepada penduduk lebih 700 rumah di Taman Lau Geok Swee dan Taman Sri Rambai, Paya Terubong, Georgetown.

Susulan tragedi tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa, Sabtu lalu, penduduk turut meluahkan rasa bimbang berikutan tapak pembinaan itu hanya beberapa meter sahaja dari kawasan rumah.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lau Geok Swee dan Taman Sri Rambai Dr Ti Lian Goh berkata, usaha membantah projek berkenaan sudah beberapa kali dibuat sejak projek dijalankan pada 2015.

Beliau berkata, sudah beberapa kali banjir lumpur berlaku akibat daripada projek berkenaan dan kesan tebing menggelongsor pada Julai lalu hanya ditutup dengan kanvas nipis.

"Penduduk sudah menghantar bantahan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), namun sehingga kini tiada jawapan sedangkan pada bila-bila masa sahaja bencana boleh berlaku.

"Sekurang-kurangnya sudah lima kali arahan supaya menghentikan kerja tanah dikeluarkan, namun projek masih berlangsung dan penduduk bimbang apabila mendengar bunyi kerja meletup batu yang jatuh di atas bumbung rumah," katanya yang tinggal di penempatan terbabit sejak enam tahun lalu.

Masalah penduduk itu diadukan kepada Timbalan Setiausaha MCA Bahagian Bukit Gelugor, Choong Jun Jie dan Naib Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang, Oh Tong Keong yang turut melawat pekarangan tapak projek berkenaan, hari ini.

Oh berkata, projek berkenaan bagi membangunkan tiga bangunan 47 tingkat dan sebuah bangunan 41 tingkat di lereng bukit itu.

Katanya, sesi dialog pernah dilakukan penduduk bersama bekas Datuk Bandar, Datuk Patahiyah Ismail dan pada masa itu, penduduk diberitahu bahawa projek berkenaan dijalankan secara haram.

"Jika ia projek haram, siapa yang meluluskan dan membenarkan kerja pembangunan dijalankan di sini? Adakah jawatankuasa pemantauan bukit yang ditubuhkan pada 8 Disember 2008 itu masih lagi berfungsi?

"Penubuhan jawatankuasa itu diumumkan Ketua Menteri (Lim Guan Eng) dan mengarahkan pemaju projek lereng bukit menghantar laporan geoteknik setiap minggu, bukan sebulan sekali dan adakah ia dipraktikkan pemaju atau hanya sekadar pengumuman sahaja?" katanya.

Tinjauan di kawasan terbabit mendapati terdapat kesan tebing menggelongsor dan keadaan dikhuatiri lebih buruk apabila cuaca hujan berikutan tanahnya tidak stabil, malah lebih membimbangkan, kesan itu berlaku kurang 10 meter dari rumah penduduk.

Foto Zuhainy Zulkiffli (PG251017NN001 - 010)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 7:36 PM