Fuad Hadinata Yaacob


TIGA individu termasuk bekas kakitangan Pejabat Menteri Besar Selangor direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung aktiviti rasuah dan salah guna kuasa pemberian projek membekal cenderahati ke pejabat Menteri Besar Selangor tahun lalu.

Reman terhadap ketiga-tiga individu itu dikeluarkan Majistret Khairul Nizam Abu Bakar.

Sebelum itu, ketiga-tiganya iaitu dua wanita dan seorang lelaki tiba di mahkamah pada 10.30 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 iaitu memperoleh dan menerima suapan.

Semalam SPRM menahan bekas kakitangan Pejabat Menteri Besar Selangor dan seorang pemilik syarikat pembekalan cenderahati kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian projek membekal cenderahati.

Individu pertama berusia 38 tahun itu adalah bekas pembantu tadbir di pejabat berkenaan.

Wanita itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari semalam di pejabatnya di Shah Alam.

Dia dipercayai menerima wang rasuah RM16,566 tahun lalu daripada pemilik syarikat cenderahati sebagai balasan mengesyorkan syarikat itu sebagai pembekal cenderahati kepada Pejabat Menteri Besar Selangor.

Pemilik syarikat yang turut ditahan itu berusia 59 tahun dan isterinya berusia 52 tahun juga ditahan 3.30 petang semalam.

Berita berkaitan

SPRM cekup bekas staf Pejabat MB Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 1:57 PM
Bekas pembantu tadbir pejabat Menteri Besar Selangor (tengah) bersama pemilik syarikat cenderahati (belakang) serta isterinya (depan) direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret, Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman
Bekas pembantu tadbir pejabat Menteri Besar Selangor (tengah) bersama pemilik syarikat cenderahati (belakang) serta isterinya (depan) direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret, Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman