Polis menanggalkan iklan ceti haram dibantu petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Foto Efendy Rashid
Farah Suhaidah Othman


POLIS menahan 68 lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan ceti haram (Along) di sekitar Bandaraya Ipoh sejak Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Abdul Rani Alias berkata, semua suspek lelaki yang ditahan berusia 20 hingga 60 tahun.

"Semua tangkapan susulan 99 laporan polis dibuat mangsa selain lima kes diugut dan diganggu oleh suspek," katanya selepas operasi bersepadu menurunkan iklan perkhidmatan Along bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.

Beliau berkata, lebih 6,000 kain rentang dan papan iklan diturunkan sepanjang tiga hari operasi berkenaan dijalankan bersama kakitangan MBI.

Siasatan awal pihaknya mendapati kebanyakan nombor telefon yang tertera di iklan berkenaan tidak mengikut prosedur betul.

"Antara kawasan yang menjadi tumpuan operasi termasuk di Bercham, Kampung Tawas dan Gunung Rapat.

"Siasatan mendapati semua nombor telefon tertera pada iklan berkenaan menggunakan identiti milik individu lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai tidak terpedaya dengan tawaran peminjam wang tanpa lesen itu kerana dikhuatiri mendatangkan ancaman dan bahaya kepada peminjam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 3:59 PM