KABEL TM yang dipotong penjenayah di Kampung Changgang, Johol.
KERETA Proton Waja yang digunakan penjenayah untuk mencuri kabel TM.


Kuala Pilah: Polis memburu dua penjenayah yang meloloskan diri selepas perbuatan mereka menarik kabel menggunakan kereta disedari anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Kampung Changgang, Johol, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi, kedua-dua suspek menaiki Proton Waja dilaporkan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) sebelum menarik menggunakan kereta.

Bagaimanapun, usaha kedua-dua suspek menarik kabel itu sejauh enam kilometer dari lokasi hanya sia-sia apabila terserempak anggota MPV yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok berkata, menyedari kehadiran polis, suspek meninggalkan kabel itu berhampiran Klinik Kesihatan Inas dan melarikan diri.

“Anggota kami kemudian menghubungi seorang kakitangan TM bagi memaklumkan kejadian itu. Kakitangan itu mengarahkan kontraktor membuat rondaan dan menemui kabel sepanjang 570 meter yang siap dipotong.

“Kejadian itu menyebabkan TM kerugian RM17,100,” katanya.

Haslah berkata, anggota MPV kemudian melakukan rondaan sebelum menemui kereta dipercayai dinaiki penjenayah itu di tepi jalan di Tampin.

“Bagaimanapun suspek sudah melarikan diri dan pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah terbabit.

“Kita masih memburu suspek dan kereta yang dinaiki juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Malah, kenderaan itu dilaporkan hilang di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:50 AM