ANTARA rokok seludup yang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA rokok seludup yang dirampas. FOTO ihsan polis


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas pelbagai jenis rokok seludup dan menyita kereta membabitkan nilai keseluruhan RM 11,894.72 dalam serbuan di kawasan tempat letak kenderaan Jalan Tanjung, Taman Sri Mersing, Johor.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, rampasan itu hasil maklumat orang ramai dan intipan selama sejam dilakukan pasukan yang menjalankan Ops Landai.

“Sebaik menerima maklumat, empat anggota yang menjalankan Ops Landai bergegas ke lokasi dan memantau kereta merah di tempat letak kereta Taman Sri Mersing.

“Selepas sejam, kami melihat seorang lelaki menghampiri kereta berkenaan dan membuka but.

“Anggota berkenaan menghampiri lelaki itu tetapi dia melarikan diri ke perumahan kawasan berhampiran dan gagal dikesan.

“€œPemeriksaan ke atas kereta berkenaan membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok tidak sah dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 11,800 batang pelbagai jenama rokok putih dan 1,600 rokok kretek dengan jumlah keseluruhan 13,400 batang bernilai RM6,894.72.

Katanya, selain itu pihaknya merampas kereta dianggarkan bernilai RM5,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM11,894.72.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan kami mengalu-alukan bantuan orang ramai menyalurkan maklumat supaya tindakan pantas boleh diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 12:37 AM