Operasi mencari Lau See masuk hari ke-20. FOTO ihsan APM
Ramli Ibrahim


MEMASUKI hari ke-20 hari ini, namun gerakan mencari dan menyelamat (SAR) warga emas yang hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8, Gua Musang, masih belum menemui sebarang petunjuk.

Malah, petunjuk bau busuk ketika misi SAR, dua minggu lalu juga tidak membantu, memandangkan bau terbabit daripada bangkai babi hutan yang mati.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan untuk tindakan lanjut.

"Sejak laporan kehilangan mangsa iaitu Lau See, 69, yang berasal dari Negeri Sembilan diterima pada 9 Oktober lalu, gerakan SAR sudah digerakkan dan anggota bersama pelbagai agensi terbabit.

"Ini termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan masing-masing berdepan kesukaran berikutan bentuk muka bumi di situ.

"Sejak operasi berlangsung, boleh dikatakan semua kawasan hutan sudah diperhalusi dan diteroka meskipun anggota berdepan risiko kerana kawasan berbukit dan licin.

"Masih juga tiada petunjuk apa-apa dan cuaca juga menjadikan faktor yang menyukarkan pencarian," katanya ditemui, hari ini.

Mohd Taufik berkata, beliau akan bertemu dengan Hasanuddin, esok bagi membincangkan kes itu termasuk kemungkinan melanjutkan operasi ataupun ditangguhkan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Lau See hilang di hutan itu pada 5.30 petang, 9 Oktober lalu selepas meninjau kawasan di hutan berkenaan bagi membuat sempadan.

Mangsa masuk ke kawasan hutan itu pada 2.30 petang bersama dua penduduk Orang Asli, Pandu Amat, 45, dan anak lelakinya, Azerin, 20.

Bagaimanapun, mangsa yang turut dikenali Akok, gagal keluar dari hutan itu manakala dua beranak Orang Asli menunggu di pacuan empat roda mangsa lebih sejam, sebelum membuat laporan kehilangan di Balai Polis Paloh.

Berita berkaitan

Di mana Lau See

Belum jumpa Lau See

31 orang cari Lau See

Dicari tidak jumpa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 3:43 PM