Peguam tertuduh, Rajehgopal keluar dari mahkamah selepas prosiding kes itu. FOTO Faiz Anuar
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


SEORANG inspektor polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang tahanan yang meninggal dunia di lokap sebuah balai polis di Klang, Februari lalu.

T Mohaneswaran, 31, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada S Balamurugan, 44, untuk mendapatkan secara paksa pengakuan bersalah berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Bandar Baru Klang antara jam 7 hingga 9.13 malam, 6 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya G Saraswathy manakala tertuduh diwakili V Rajehgopal.

Mohaneswaran memohon pengurangan ikat jamin daripada RM3,000 yang ditawarkan pendakwaan kerana hanya memperoleh pendapatan RM3,600 sebulan.

Rozianti kemudian menetapkan ikat jamin RM1,200 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 16 November.

Sebelum ini, sebuah portal berita dipetik melaporkan Balamurugan ditahan pada 6 Februari dan dibawa ke mahkamah pada keesokan hari untuk permohonan reman, namun ditolak dan diarahkan supaya dibebaskan.

Difahamkan, polis bagaimanapun tidak berbuat demikian sebelum Balamurugan meninggal dunia ketika dalam tahanan dengan keadaan muka lebam dan berdarah pada 8 Februari.

Hasil bedah siasat pertama menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat masalah jantung sebelum keluarganya kemudian memfailkan permohonan supaya bedah siasat kedua dilakukan. Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan itu.

Pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur kemudian mengenal pasti punca kematian sebagai penyakit arteri koronari dengan beberapa kecederaan akibat dipukul dengan senjata tumpul.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan turut menyiasat kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 1:13 PM