TRANSFORMASI Perpustakaan Ibnu Sina SMK Machang menggalakkan pelajar lebih kreatif dalam pembelajaran mereka.
TRANSFORMASI Perpustakaan Ibnu Sina SMK Machang menggalakkan pelajar lebih kreatif dalam pembelajaran mereka.
HM Digital

Machang: Perpustakaan sekolah kini tidak lagi berkonsep tradisional seperti dulu, sebaliknya peralatan berteknologi tinggi dan multimedia memberi nilai tambah baru perkhidmatan itu.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang antara institusi bertuah menerima kemudahan berteknologi tinggi yang diselia Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan untuk memperbaharui Perpustakaan Ibnu Sina.

Menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) UiTM itu, perpustakaan iru menerima e-book, ruang belajar alam maya, komputer, akses bahan digital, kemudahan multimedia dan Internet sekali gus menggalakkan pembelajaran secara interaktif.

Ketua Pustakawan UiTM Nor Hidayat Adnan berkata, SMK Machang adalah sekolah ketujuh di Malaysia yang menerima transformasi perpustakaan bagi mendedahkan pelajar mengenai penguasaan ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Melalui pengubahsuaian perpustakaan elektronik itu, pembelajaran di dalam perpustakaan kini lebih interaktif dan tidak lagi sunyi seperti dahulu.

“Malah, pelajar juga lebih terdedah kepada pencarian maklumat melalui sumber elektronik seperti komputer, dalam talian dan penggunaan gajet terkini seperti lensa dunia realiti maya (VR) yang memberi gambaran pembelajaran 3D.

“Kami juga sediakan ruang belajar digital yang boleh digunakan pelajar dan guru untuk kerja berkumpulan. Dengan itu budaya membaca dan belajar jadi lebih menarik dan tidak membosankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kemuncak Program CSR: Ilmu Mengubah Destini, Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam yang dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, di sini petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:13 AM