Muhammad Firdaus Lai Abdullah bergambar dengan peguamnya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


SEORANG buruh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini, atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah berbahaya keseluruhan seberat 124.25 gram, Januari tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li memutuskan demikian selepas meneliti hujahan dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan serta mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes itu.

"Tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas semua pertuduhan," katanya ketika memberikan penghakiman lisan di akhir kes pendakwaan hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Firdaus Lai Abdullah dituduh mengedar methamphetamine seberat 74.09 gram di tepi jalan berhadapan Taman Seri Kelubi, Jitra pada 26 Januari 2016, kira-kira 2.30 petang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 77 (ADB)1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman gantung mandatori.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa memiliki methamphetamine seberat 43.44 gram dan heroin seberat 6.81 gram di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan bagi kedua-dua kes dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup dan tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Syazuani Syed Hussein manakala tertuduh diwakili peguam Lim Wei Yong dan Jamil Mohamed Shafie.

Sepanjang perbicaraan kes bermula Mac lalu, pendakwaan memanggil lima saksi bagi memberi keterangan untuk membuktikan kes mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 1:40 PM