Gambar hiasan
Gambar hiasan
Siti A'isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung laporan mengenai kebocoran data peribadi kira-kira 46.2 juta pelanggan pengguna telefon mudah alih.

Ketua Pegawai Operasi SKMM Dr Mazlan Ismail berkata, perkara berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa dan suruhanjaya berkenaan turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Semua aspek kes ini masih dalam proses siasatan dan Ketua Polis Negara juga sudah memberikan kenyataan.

"Jadi yang terbaik adalah jangan buat sebarang spekulasi, tunggu dulu," katanya pada Majlis Anugerah Star Rating 2016 Untuk Penyedia Perkhidmatan Selular di Cyberjaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Pada 20 Oktober lalu, menerusi kenyataan SKMM, suruhanjaya itu bersama PDRM sedang menyiasat laporan pengiklanan untuk menjual data pengguna yang disyaki diperoleh secara tidak sah.

Menurut kenyataan itu, sebagai langkah pencegahan, pihaknya sudah meminta pentadbir laman sesawang lowyat.net untuk menurunkan iklan penjualan berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan, polis sedang menyiasat kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan pengguna telefon mudah alih berkenaan.

Pada masa sama, Mazlan berkata, pihaknya juga sudah bertemu dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi pada 19 dan 26 Oktober lalu.

"Kita mahu mereka maklum dengan perkara ini lebih-lebih lagi JSJK sedang menjalankan siasatan," katanya.

Ditanya mengenai aspek keselamatan data peribadi, beliau berkata, perkara berkenaan tertakluk di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) iaitu satu daripada agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Bagi SKMM, kita ada Kod Amalan Am Pengguna Untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mempunyai peruntukan supaya pembekal perkhidmatan hendaklah menjaga data peribadi pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 2:35 PM