X
NORAINI bersama Noralia yang masih tidak berjaya mendapatkan sijil kelahiran ketika ditemui di Kampung Deraka.
NORAINI bersama Noralia yang masih tidak berjaya mendapatkan sijil kelahiran ketika ditemui di Kampung Deraka.
Shahrinnahar Latib


Kuantan: “Anak angkat saya tidak boleh menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun sudah berusia 12 tahun kerana tidak memiliki sijil kelahiran selepas permohonan untuk memperoleh sijil berkenaan ditolak pihak berwajib,” kata ibu tunggal, Noraini Ibrahim, 60.

Katanya, banyak pihak yang tampil membantunya untuk mendapatkan sijil kelahiran anak angkat yang diberi nama Noralia Syafira Abdullah namun semuanya menemui jalan buntu.

“Saya ambil Noralia Syafira untuk dijadikan anak angkat sejak dia dilahirkan di Hospital Mentakab dan keluarganya berjanji untuk memberikan sijil kelahiran anak mereka namun tidak tampil berbuat demikian.

“Namun, disebabkan kelewatan itu, saya berusaha melakukan sendiri dengan bantuan beberapa pihak lain namun gagal dan sentiasa ditolak sehingga menemui jalan buntu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Deraka, Tanjung Lumpur, di sini, kelmarin.

Noraini berkata, bagaimanapun dia tetap berusaha mendapatkan sijil kelahiran anak angkatnya memandangkan tiba masa dia membuat kad pengenalan.

Disebabkan tiada sijil kelahiran, anak angkatnya itu tidak dapat bersekolah dan mengambil peperiksaan termasuk UPSR.

“Saya hanya dapat menempatkannya di sekolah secara tumpangan untuk belajar saja tetapi tidak dapat mengambil sebarang peperiksaan.

“Sebelum ini, kami menetap di Kuala Lumpur dan turut berkesempatan menghantarnya ke sekolah agama.

“Tetapi kini sejak tinggal di Kuantan dua tahun lalu, tidak ada mana-mana sekolah yang boleh menerimanya malah dia hanya belajar sendiri di rumah,” katanya.

Katanya, Noralia Syafira berhasrat untuk terus mendapat pendidikan sempurna memandangkan dia semakin meningkat usia.

“Jika anak angkat saya tidak dapat meneruskan pembelajaran di sekolah biasa, saya harap dia dapat ditempatkan sama ada di kelas kemahiran, agama dan sebagainya yang sesuai.

“Selepas 12 tahun menjaganya, saya rasa agak kecewa kerana masih tidak berjaya mendapatkan sijil kelahirannya, malah usaha menempatkannya untuk belajar juga terbatas,” katanya.

Dia berharap ada pihak tampil membantu bagi membolehkan anaknya mendapat sijil kelahiran seterusnya mendapat pendidikan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:32 AM