MOHMAD (kanan) menunjukkan mesin memproses dadah yang dirampas dalam serbuan di Johor.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Kejayaan polis melumpuhkan makmal dan stor milik sindiket pemprosesan dadah membabitkan nilai rampasan berjumlah RM32.4 juta dalam enam serbuan di Johor Bahru dan Pasir Gudang, Selasa lalu adalah yang terbesar sejak dua tahun lalu.

Serbuan itu membabitkan tindakan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) dan polis Johor yang turut menyaksikan lapan individu berusia 27 hingga 58 tahun ditahan termasuk warga Singapura dan Vietnam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi hingga jam 7.45 pagi di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Permas Jaya, Bandar Baru Permas Jaya dan Kampung Kong Kong Laut, Masai.

Katanya, siasatan polis mendapati makmal dan stor berkenaan menggunakan khidmat pakar dalam menghasilkan Ecstasy.

“Malah sindiket Ecstasy ini turut menjadikan bangsal di kawasan terpencil serta kebun kelapa sawit sebagai makmal memproses dadah didalangi warga tempatan dan Singapura,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mohmad berkata, lapan individu ditahan itu membabitkan enam lelaki tempatan berusia 30 hingga 58 tahun dan masing-masing satu lelaki Singapura berusia 46 tahun serta wanita warga Vietnam berusia 27 tahun.

“Selain itu, serbuan turut merampas 51,750 biji pil disyaki Ecstasy, 227.6 kilogram serbuk dadah yang boleh menghasilkan 757,667 biji pil Ecstasy, 10.51 gram dadah disyaki syabu dan 713 kilogram bahan kimia pelbagai jenis serta peralatan memproses dadah,” katanya.

Katanya, RM590,000 nilai sitaan dirampas membabitkan pelbagai jenis mata wang dari Singapura, Vietnam, Amerika Syarikat dan Malaysia bernilai RM350,000.

“Tujuh kenderaan pelbagai jenis digunakan sindiket itu turut dirampas dengan keseluruhan nilai rampasan RM32.4 juta,” katanya.

Mohmad juga tidak menolak kemungkinan Johor dijadikan pusat menghasil dan mengedar dadah terbesar bagi tiga negara termasuk Singapura dan Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan rekod 15 makmal dadah yang sudah dibongkar sebelum ini mendapati, Johor antara tiga negeri selain Selangor dan Pulau Pinang yang menjadi pusat menghasilkan dadah itu.

Sementara itu, semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 7:02 AM