Najib menerima memorandum sokongan Bajet 2018 daripada Zambri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima memorandum daripada 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi menyatakan sokongan terhadap Bajet 2018 yang dibentangkan pada 27 Oktober lalu.

Memorandum diserahkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa sebagai wakil NGO di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Dalam majlis ringkas itu, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan.

Zamri berkata, antara kandungan memorandum itu ialah menyatakan sokongan NGO terhadap agenda yang diusulkan Perdana Menteri terutama dalam meningkatkan syiar Islam dan usaha mentransformasi Bumiputera.

Katanya, ia termasuk peruntukan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA), meneruskan bantuan kepada bilal dan imam serta beberapa pendekatan tambahan kepada umat Islam.

"Kita lihat bajet ini sangat dekat dengan rakyat terutama masyarakat Islam dan Melayu, serta memberi banyak manfaat kepada mereka.

"Disebabkan itu, kita nyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan mengucapkan terima kasih kerana terus membantu golongan Islam dan Melayu," katanya ketika ditemui hari ini.

Zamri berkata, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih dan amat terharu di atas sokongan yang diberikan.

Katanya, Bajet 2018 juga bukan bajet pilihan raya tetapi untuk memacu masa depan negara sejajar dengan program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (WITUS) Shiella Tukimin berkata, idea menyerahkan memorandum bersama gabungan NGO itu timbul selepas mendapati bajet yang dibentangkan Perdana Menteri dianggap sangat terbaik.

"Ia merangkumi semua pihak terutama golongan wanita dan ibu tunggal yang turut merasai tempias manfaatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 3:49 PM