PEMANGKU Pendaftar UTeM Masdzarif Mahat (kiri) Naib Canselor Prof Datuk Dr Shahrin Sahib (dua dari kiri) Timbalan Naib Canselor Pendidikan Prof Datuk Dr Jailani Mohd Noh danTimbalan Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof Datuk Dr Izaidin Abd Majid (kanan) menunjukkan ciri-ciri keselamtan pada sijil ijazah yang dilengkapi QR Code dan juga Buku Konvokesyen UTeM berbentuk digital pada sidang media Majlis Konvokesyen UTeM di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM Durian Tunggal. FOTO Nur Ain Musdad
Nur Ain Musdad


UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan penggunaan QR Code (Quick Response Code) pada sijil ijazah, sebagai usaha meningkatkan lagi ketulenan sijil dimiliki lepasan universiti terbabit, pada Majlis Konvokesyen ke-13 kampus berkenaan, 20 dan 21 November ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, tahun ini pihaknya melakukan beberapa penambahbaikan ciri keselamatan sijil dengan mencetaknya pada Kertas Keselamatan.

"Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada sijil itu termasuklah Garis Guilloche, microtext, Ultraviolet Fluoresent Ink, watermark, nombor siri dan anti salinan.

"Jika diimbas secara offline, akan tertera maklumat tentang nama pemegang sijil kursus yang diambil, tarikh konvokesyen, nombor kad pengenalan dan nombor matrik pelajar namun jika diimbas secara online, mereka boleh melihat maklumat yang lebih terperinci, iaitu imej asal sijil terbabit," katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Konvokesyen UTeM di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini.

Majlis Konvokesyen UTeM ke-13 yang berkonsepkan digital itu bakal menyaksikan 3,120 graduan akan menerima skrol dalam pelbagai peringkat pengajian.

"Pada tahun ini juga, UTeM memperkenalkan penggunaan aplikasi buku konvokesyen secara digital kepada graduan dan ahli keluarga.

"Untuk mendapatkan buku digital berkenaan, mereka perlu memuat turun aplikasi digital yang kita berikan dan dalamnya terkandung segala maklumat atau program istiadat konvokesyen berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 5:03 PM