ROSMAH bersama Ghaniah (kanan).
ROSMAH bersama Ghaniah (kanan).
HM Digital

Kuala Lumpur: Orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat mengenai autisme dengan lebih mudah apabila pautan laman Pusat PERMATA Kurnia kini dapat dihubung terus dari laman web Malaysian Information Network on Disabilities (MIND).

Usaha itu direalisasikan menerusi program naik taraf laman web MIND, yang juga salah satu projek Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) iaitu platform penghubung bagi ibu bapa dan kumpulan sasar dalam mendidik golongan istimewa.

Menurut isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor, laman web MIND (www.mind.gov.my) direka Danny Ghaniah itu kini berwajah baru dan lebih lengkap dengan elemen nilai tambah yang inklusif mengenai autisme.

Katanya, kerjasama itu rentetan kajian yang mendapati wujudnya fenomena peningkatan mendadak autisme di seluruh dunia dan prevalens (pengalaman dan persepsi kanak-kanak) di Amerika Syarikat (AS) contohnya adalah satu kes bagi setiap 68 kelahiran.

“Di United Kingdom pula, prevalens autisme adalah satu kes bagi setiap 66 kelahiran dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan satu peratus prevalens autisme dalam sesebuah negara.

“Jika ia diaplikasi kepada Malaysia yang mempunyai 31 juta penduduk, boleh dianggarkan terdapat kira-kira 310,000 kanak-kanak mengalami autisme di negara ini.

“Peningkatan itu secara tidak langsung mewujudkan keperluan mendesak untuk ibu bapa, penjaga, guru serta ahli terapi di seluruh negara untuk mendapat akses kepada maklumat dan perkembangan terkini mengenai autisme dengan cepat dan mudah,” katanya ketika berucap melancarkan laman web berkenaan di Bangunan BAKTI Siti Hasmah di ibu negara, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:16 AM
Digital NSTP Subscribe