TNB membekalkan set jana kuasa bergerak ke kawasan banjir di Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
TNB membekalkan set jana kuasa bergerak ke kawasan banjir di Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


TENAGA Nasional Berhad (TNB) masih meneruskan kerja pemulihan bekalan termasuk menggunakan set jana kuasa bergerak (genset) ke kawasan yang teruk dilanda banjir di Pulau Pinang.

Pengurus Besar Kanan (Distribution Network) TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, seramai 160 anggota teknikal termasuk dari luar Pulau Pinang sedang bertungkus lumus menyambung semula bekalan elektrik yang terputus sejak Ahad lalu.

Katanya, sehingga 3 petang hari ini, sebanyak 38 genset sudah dipasang di kawasan yang dikenal pasti selamat dan strategik.

"Bagi kawasan lain, bekalan elektrik akan disambung semula sebaik keadaan mengizinkan.

"Selain faktor akses ke pencawang elektrik, pemasangan genset mengambil kira faktor keselamatan membabitkan pemasangan, warga kerja TNB serta pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Nazmy berkata, daripada 4,852 pencawang elektrik di seluruh negeri, sebanyak 16 daripadanya masih dihenti tugas atas faktor keselamatan.

“Kami berharap pengguna yang masih belum mendapat bekalan elektrik dapat bersabar sementara anggota kerja kami terus berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 6:05 PM