JURUBAHASA sambilan, suaminya serta tauke bot warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan memberi suapan RM100,000 kepada pegawai kanan APMM. FOTO Syafiq Ambak.
Zatul Iffah Zolkiply


TAUKE bot Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan memberi suapan RM100,000 kepada Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tertuduh, Tran Van Sang, 48, mengaku salah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dibacakan di depan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama dua lagi tertuduh memberi rasuah RM100,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman Leftenan Komander Maritim Muhmmad Rezal Kamal Bashah.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya untuk melepaskan dua bot nelayan Vietnam (KG 90143TS dan PAF4940) yang ditahan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985.

Tertuduh didakwa mengaku kesalahan itu di sebuah restoran di Kampung Meraga Beris, Kemaman, jam 12.50 tengah hari pada 5 November lalu.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh yang juga suami isteri iaitu Abd Rauf Mohamad, 36, dan isterinya warga Vietnam, Sa Ly Hah, 29, mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan ketiga-tiga tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 28 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman bagi Tran dan serahan dokumen bagi suami isteri yang mempunyai tiga anak itu.

Mahkamah menawarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin terhadap Abd Rauf dengan syarat perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada dua tertuduh warga Vietnam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rozilawati Mat Hassan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang jurubahasa sambilan bersama suami dan tauke bot direman kerana memberi suapan kepada pegawai APMM.

Jurubahasa wanita yang dibantu suaminya yang juga pekerja pelantar minyak dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam proses rundingan antara tauke bot Vietnam dengan pegawai APMM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 12:06 PM