Sebuah Proton Persona rosak teruk akibat dihempap kren. FOTO Mohd Hasbi Sidek
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


DUA kereta rosak selepas kren di tapak pembinaan pangsapuri di Jalan Raja Muda Musa dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur, tumbang tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira 1 tengah hari itu turut menyebabkan seorang wanita yang berada di lokasi kejadian pengsan akibat terkejut.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, tiada individu yang mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu.

"Selepas menerima panggilan daripada orang awam, tiga anggota APM Kuala Lumpur bergegas ke lokasi.

"Bagaimanapun, tiada mangsa yang mengalami kecederaan. Hanya seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an pengsan akibat terkejut," katanya.

Menurutnya, seorang pemandu kereta yang sedang memandu hanya mengalami kecederaan ringan selepas keretanya dihempap kabel daripada kren.

"Pemandu lelaki itu sudah diberikan rawatan dan dipercayai ke klinik sendiri sejurus kejadian untuk pemeriksaan.

“Selain kenderaan lelaki berkenaan, sebuah Proton Persona rosak teruk akibat dihempap kren.

"Kenderaan itu diletakkan di lokasi berkenaan dan tiada pemandu," katanya.

Sehingga 3 petang tadi kelihatan APM, kakitangan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL), kakitangan pemaju dan polis berada di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 3:32 PM