‘Armada’ dipimpin Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media bulan lalu.
Siti A'isyah Sukaimi


JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sehingga kini belum meluluskan pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menggunakan istilah 'Armada' untuk jawatankuasa pemuda parti berkenaan.

Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim berkata, pihaknya mendapati daripada siasatan awal, istilah itu tidak terkandung di dalam Perlembagaan PPBM.

"Tindakan menggunakan istilah yang tiada dalam perlembagaan adalah melanggar perlembagaan parti sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.

"Kesalahan ini dilihat berat dan boleh menyebabkan sesebuah pertubuhan dibatalkan, jadi siasatan masih diteruskan bagi meneliti isu ini," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu susulan pihaknya menerima beberapa aduan daripada sebilangan ahli PPBM berhubung beberapa ahli 'Armada' atau di dalam parti politik kebiasaan disebut Pemuda, dikenakan tindakan dipecat.

"Terdapat juga aduan lain daripada ahli yang bertanyakan mengenai status pengurusan PPBM kerana mesyuarat agung sehingga kini belum dilaksanakan.

"Jabatan ini sudah pun memulakan siasatan sebaik saja aduan itu diterima," katanya.

Mengulas lanjut, Surayati berkata, aduan yang diterima itu adalah mengenai isu urus tadbir parti yang tidak berlandaskan perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Pada 6 November lalu, lima bahagian di Negeri Sembilan iaitu Seremban, Rembau, Rasah, Kuala Pilah dan Teluk Kemang membuat laporan kepada ROS Putrajaya berhubung kegagalan kepimpinan tertinggi PPBM mematuhi perlembagaan parti.

Bekas Setiausaha Pendaftar PPBM Negeri Sembilan Abdul Rasid Mohamed dipetik berkata, ahli serta penggerak awal PPBM menggesa kepimpinan tertinggi mengadakan mesyuarat agung serta akur dengan perlembagaan parti.

Selain itu, sebanyak lapan bahagian PPBM Johor turut membuat laporan kepada ROS pada Oktober lalu berhubung perkara sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 5:30 PM