Muhamaad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


LELAKI berusia 34 tahun yang didakwa merogol wanita sakit mental yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Jitra, sudah ditahan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, polis berjaya mengesan suspek yang juga pemilik rumah kebajikan itu selepas keluarga mangsa membuat laporan dan menahannya kira-kira 6 petang hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan di sekitar daerah ini dan akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Siasatan juga mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau.

“Suspek bagaimanapun mengaku tidak terbabit dalam kes rogol itu dengan memberi alasan mangsa adalah pesakit mental namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan wanita sakit mental yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Jitra sejak setahun lalu disyaki dirogol pemilik kediaman terbabit.

Mangsa mendakwa pernah dirogol tetapi tidak mengingati tarikh dan bila kejadian berlaku.

Berita berkaitan

Dia rogol wanita mental

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 8:46 PM