IHSAN Polis Diraja Malaysia
Nasrawati Syarifuddin


TIGA lelaki dipercayai terbabit dalam kes melarikan peti besi berisi RM11,000, pada Jumaat lalu, diberkas di lokasi berasingan di Balung, Tawau, semalam.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata tangkapan pertama membabitkan suspek 24 tahun di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Balung Jalan Apas, 3.30 petang.

“Lelaki itu ditahan rumahnya namun hasil pemeriksaan tiada barang curi ditemui.

“Tapi, suspek kemudian membawa polis ke tempat persembunyian hasil curi di tepi jalan dekat KM28 Jalan Apas,” katanya.

Fadil berkata, pihaknya kemudian menahan dua lagi lelaki berusia 20 dan 28 tahun di dua lokasi berasingan.

“Kedua-dua suspek ditahan di kediaman mereka di Taman Sawit, Balung, Jalan Apas dan PPR Sri Balung, Jalan Apas.

“Tiga lelaki tempatan itu ditahan reman bermula hari ini. Semua barang curi mereka turut dirampas,” katanya.

Jumaat lalu, pekerja kedai di Balung, menyedari bahawa premis itu dipecah masuk dengan beberapa barang jualan hilang manakala peti besi berisi wang turut lesap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 1:44 PM