AZAHAR menutup muka bagi mengelak wajahnya dirakam di Mahkamah Khas SPRM, Alor Setar.
HM Digital

Alor Setar: Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan pindaan bersetuju menerima dan menerima rasuah RM200, dua tahun lalu.

Azahar Abdul Aziz, 53, Sarjan Detektif di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim ketika perbuatan itu dilakukan, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak mulai semalam.

Hakim Zanol Rashid Hussain dalam penghakimannya turut mendenda tertuduh RM20,000 dan penjara tambahan 200 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

“Selepas meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan apa-apa keraguaan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Elemen ‘anggapan’ Seksyen 50, Akta SPRM 2009 juga gagal dipatahkan, justeru tertuduh disabitkan dengan pertuduhan,” katanya.

Azahar melalui panggilan telefon kepada Sulaiman Sahbudin, 30, yang juga pengadu secara rasuah bersetuju menerima suapan RM200.

Ketika panggilan dibuat pada 13 Januari 2015, kira-kira jam 5 petang, pengadu berada di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Kulim dan suapan itu sebagai upah konon kerana tertuduh membantu mengurangkan hukuman ke atas Sulaiman iaitu hanya hukuman pengawasan AADK selama dua tahun.

Azahar didakwa mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Sekyen 24(1), akta sama.

Bagi tuduhan pindaan kedua, bapa kepada empat anak itu didakwa bersetuju menerima RM200 daripada pengadu bagi tujuan sama di Nasi Kandar Pelita, No 111-C Jalan Raya, Kulim, pada tarikh sama, jam 6.50 petang.

Dia didawka mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM10,000 atau penjara 100 hari jika gagal membayar denda itu serta penjara 10 bulan bagi setiap tuduhan secara serentak bermula hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar berhujah hukuman berat perlu dikenakan walaupun peguam Ang Chun Pun yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara singkat.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman selepas dipohon peguam sementara menunggu rayuan kes di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan denda diselesaikan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 9:20 AM