MAKANAN sejuk beku yang dirampas MAQIS. FOTO Ihsan MAQIS
Izlaily Nurul Ain Hussein


MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap syarikat pengimport dan pengeksport makanan sejuk beku kerana mengimport ayam dan itik sejuk beku dari tiga negara tanpa permit import yang sah, tahun lalu.

Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat Molyfood Sdn Bhd yang diwakili pengurusnya, Chiah Mok Yong, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat itu didakwa mengimport 27,500 kilogram (kg) bahagian dada itik dari China; 24,960 kg kaki ayam tanpa tulang sejuk beku dari Hong Kong dan 22,299 kg paha ayam sejuk beku dari Singapura tanpa permit sah dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Perbuatan itu dilakukan di Gudang JPL 1 dan Container Inspection Bay (CIB), Pelabuhan Pasir Gudang, Pasir Gudang, pada 3 petang, 26 Oktober 2016.

Bagi perbuatan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa MAQIS, Ismail Ahmad dan Hafizah Mohamed, manakala syarikat tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, sepasukan anggota MAQIS membuat pemeriksaan ke atas tiga kontena yang membawa bahagian ayam dan itik sejuk beku di Pelabuhan Pasir Gudang.

Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga kontena itu membawa muatan makanan sejuk beku dari syarikat terbabit yang beralamat di Taman Molek, Johor Bahru dan diimport ke Malaysia tanpa permit import dari MAQIS sebelum ketiga-tiga kontena itu disita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 5:29 PM