Tapak projek stesen janakuasa menggunakan arang batu di Mukim Jimah Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Tapak projek stesen janakuasa menggunakan arang batu di Mukim Jimah Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mohd Khidir Zakaria

TENAGA Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Toshiba membina sebuah stesen janakuasa elektrik menggunakan arang batu di Jimah, Port Dickson.

Pembinaan stesen janakuasa berteknologi tinggi itu menelan kos sebanyak RM12.1 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2019.

Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie berkata, stesen janakuasa berkenaan adalah yang terbesar di Negeri Sembilan mempunyai kapasiti terpasang 2,000 megawatt (MW).

Menurutnya, stesen berkenaan dijangka beroperasi pada 15 Jun 2019 untuk unit pertama dan unit kedua (15 Disember 2019).

"Projek itu dijalankan bertujuan memastikan bekalan elektrik di negara ini sentiasa terjamin pada kos penjanaan yang ekonomik serta menggunakan proses penjanaan yang mesra alam.

"Apabila siap kelak, ia akan menyumbang kapasiti penjanaan tenaga elektrik daripada 51.8 peratus kepada 53.2 peratus dan menjamin kestabilan sistem grid nasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis lawatan kerja Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di tapak projek stesen janakuasa berkenaan di Jimah, Port Dickson.

Turut hadir Presiden TNB Datuk Seri Ir Azman Mohd dan Naib Presidennya Datuk Nor Azman Mufti.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau yakin apabila projek itu siap kelak ia akan meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 10:45 PM