LEE
Wan Asrudi Wan Hasan


Ipoh: Seorang pengarah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada 2005 dan 55 pertuduhan memperoleh wang tunai RM5.9 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram sejak enam tahun lalu.

Lee Ming Chai, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan menggunakan dokumen palsu itu di tiga lokasi berasingan iaitu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) cawangan Perak di Angsana Mall, di sini, Public Bank Bhd cawangan Sitiawan dan OCBC Bank Bhd cawangan Teluk Intan pada 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammed Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lee.

Sementara bagi 55 pertuduhan pengubahan wang haram, Ming Chai didakwa melakukan perbuatan itu di Sitiawan dan Seri Manjung, Perak dan Melaka antara Januari 2011 hingga November 2017.

Dia dituduh menerima wang berkenaan daripada syarikat GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam tiga akaun milik syarikatnya iaitu Malayan Banking Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad dan HSBC Bank Malaysia Berhad.

Ming Chai didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1), akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Nik Haslinie Hashim.

Terdahulu Nik Haslinie memohon kepada mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan serius dan membabitkan jumlah wang yang banyak.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh perlu menanggung isteri, dua anak yang bersekolah serta ibunya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 5:35 AM