Suhaila Shahrul Annuar


SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh memberi keterangan kira-kira tiga jam kepada Jabatan Pertubuhan Pendaftar (ROS) di Putrajaya, hari ini.

Shahruddin ketika ditemui berkata, kehadirannya untuk memberi keterangan susulan beberapa bahagian PPBM di Johor membuat aduan kepada ROS berhubung beberapa perkara.

Katanya, selama tiga jam memberi keterangan kepada pegawai penyiasat ROS, beliau memberi

kerjasama penuh dengan mengemukakan segala bukti dan maklumat yang diperlukan jabatan itu.

"Segala soalan yang ditanyakan adalah berkaitan soal perlembagaan.

"Saya cuba jawab sejelas mungkin apa yang ditanya serta menjelaskan segala tindakan dan

keputusan yang sudah kita ambil berdasarkan perlembagaan PPBM," katanya.

Sebelum ini, Shahruddin memaklumkan menerima panggilan daripada ROS dan akan hadir bagi

memberi kenyataan dan bekerjasama dengan jabatan berkenaan.

Ia susulan lapan bahagian PPBM di Johor membuat laporan kepada ROS berhubung dakwaan kegagalan

kepemimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti.

Antaranya, kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk disoal siasat ROS lagi selepas ini sekiranya diperlukan.

"Buat masa ini saya minta semua pihak bertenang kerana segalanya masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 5:09 PM
SHAHRUDDIN keluar dari Jabatan Pertubuhan Pendaftar Putrajaya selepas disoal siasat. FOTO Abd Rahim Rahmat