Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


LEBIH 200 mahasiswa universiti, Politeknik dan Kolej Komuniti sekitar Lembah Klang menyertai Program Jelajah Transit Aliran Massa (MRT) bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, pagi tadi.

Program anjuran dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bermula dari MRT Tun Razak Exchange (TRX) hingga ke Stesen Stadium Kajang.

Idris berkata, program bersifat 'Rakyat Sentrik' itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk merasai infrastruktur bertaraf dunia yang disediakan kerajaan.

"Program ini adalah satu platform untuk menggalakkan mahasiswa menggunakan kemudahan pengangkutan awam.

"Ini kerana negara memiliki pelbagai kemudahan bertaraf dunia seperti MRT, East Coast Rail Link (ECRL) serta High Speed Rail yang seharusnya dimanfaat dengan sebaiknya oleh orang ramai," katanya pada sidang media selepas menyerahkan kad konsesi kepada mahasiswa di Stesen MRT Kajang.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Operasi Stesen Sungai Buloh-Kajang (SBK), Mohammad Isom Azis.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, beramah mesra bersama Mahasiswa ketika Program Jelajah MRT. FOTO Shahril Badri

Sementara itu, bagi memberi kemudahan kepada golongan mahasiswa, pihak Prasarana Malaysia Berhad turut menyediakan kemudahan kad konsesi bagi membolehkan mereka menikmati diskaun sebanyak 50 peratus ke atas kadar tunai bagi setiap perjalanan menggunakan Bas RapidKL, Bas Rapid Transit (BRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan perkhidmatan MRT lain.

Menurutnya, permohonan kad terbabit boleh dibuat dikaunter pendaftaran konsesi, Pusat Perhentian Bas Pasar Seni dengan bayaran RM15 saja.

"Diharap dengan adanya kemudahan ini, kebergantungan kepada kereta dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan gaya hidup mesra alam dalam kalangan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 12:27 PM
Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan kad konsesi Pelajar FOTO Shahril Badri